Tuesday 19 June 2012

Warkah Cinta Untuk Umat

"Assalamua'laikum."
"Waa'laikumussalam." balasnya.

Saya berbual-bual dengan seorang sahabat, sahabat lama. Kenalan 5 tahun sepanjang di sekolah menengah.Bukan sekadar kenalan, boleh juga dikatakan sebagai buah hati saya sepanjang 5 tahun di sekolah menengah. Namun selepas SPM, masing-masing membawa haluan sendiri, saya dan sahabat-sahabat menjadi lebih matang dan kami menempuh takdir yang disediakan Allah untuk kami.

Dia bertanyakan soalan berkaitan fiqh muamalat, saya menjawab sekadar tahu dan mampu. Selepas perbualan singkat sekadar bertanya khabar, satu demi satu kenangan semasa di sekolah menengah menerpa.

Saya tidak punya banyak kenangan bersamanya, jarang sekali berbicara dengannya. Kenangan yang menjelma, membangkitkan perasaan cinta yang pernah dirasai. Perasaan cinta hanya sekadar tumbuh di jantung hati, dan ianya dibawa pergi bersama takdir dan masa. Begitulah cinta. Begitulah insan. Namun dengan subjek 'cinta' ini, banyak yang boleh dipelajari.

Perasaan cinta itu menenangkan.

Setelah chat dengannya di Facebook, saya mengambil wuduk dan bersiap untuk menunaikan solat Isyak.

"Allahuakbar..."


Cinta Yang Pasti Dibalas



Apabila hati ini mengingati orang yang dicintai, hati menjadi tenang. Apabila hati cuba mengungkap kembali kenangan-kenangan yang lalu, hati juga menjadi tenang. Bahkan kadangkala mengukir senyuman.

Setiap yang pernah jatuh cinta pasti merasai indahnya perasaan mencintai. Teringatkan wajahnya menenangkan hati, mendoakan kebaikan untuknya juga menenangkan hati. Melihatnya gembira menenangkan. 

Dalam saya dilamun cinta entah kali yang keberapa, saya teringat bahawa saya pernah mendengar tentang betapa dalamnya kasih sayang Allah kepada manusia. Dikatakan bahawa kasih sayang Allah terhadap lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya,

“Sesungguhnya  Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu  ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim)

Apabila kita mencintai orang lain, kita sering tertanya tanya,
"Aku suka kat dia ni, dia suka tak kat aku.?"


Dalam sebuah hadis qudsi disebutkan,

أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني ، فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي ، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم ، وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه 
ذراعا ، وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه باعا ، وإن أتاني يمشي أتيته هرولة 




“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”. (HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)


"....Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku..." 





Allah pasti menjawab cinta kita.

Allah pasti memberi apabila diminta.

Allah akan mengampunkan dosa.

Perasaan apabila Allah sentiasa di sisi, sukar diungkap oleh kata-kata. Ianya sebuah perasaan antara hamba dengan Rabbnya. Ianya ikatan yang tidak diadili oleh sesiapa melainkan hati.

Di kala umat porak peranda dengan dunia yang cacamerba, di kala awan kelihatan sentiasa mendung dan mentari yang diharapkan tidak kunjung tiba, dikala semuanya kelihatan tidak kena dan kita berdiri seorang, di kala kesunyian terlalu mencengkam sehingga tidak mampu melangkah..

Di kala jiwa insan berputus asa dengan kesilapan-kesilapan semalam, dan apa yang diharapkan hanyalah belas ihsan dan pengampunan daripada Rabbnya..

Di kala itu dia mengangkat tangan berdoa,

"Ya Allah.."

Di kala itu, dia menjadi hamba yang mencintai Tuhan.



















1 comment:

  1. cinta ALLAH tu cinta hakiki.
    insyaAllah,
    moga pertambahan cinta kita kpd PENCIPTA, maka dikurniakan kita cinta hati yg juga mencintaiNYA
    <3

    ReplyDelete