Tuesday 19 June 2012

Warkah Cinta Untuk Umat

"Assalamua'laikum."
"Waa'laikumussalam." balasnya.

Saya berbual-bual dengan seorang sahabat, sahabat lama. Kenalan 5 tahun sepanjang di sekolah menengah.Bukan sekadar kenalan, boleh juga dikatakan sebagai buah hati saya sepanjang 5 tahun di sekolah menengah. Namun selepas SPM, masing-masing membawa haluan sendiri, saya dan sahabat-sahabat menjadi lebih matang dan kami menempuh takdir yang disediakan Allah untuk kami.

Dia bertanyakan soalan berkaitan fiqh muamalat, saya menjawab sekadar tahu dan mampu. Selepas perbualan singkat sekadar bertanya khabar, satu demi satu kenangan semasa di sekolah menengah menerpa.

Saya tidak punya banyak kenangan bersamanya, jarang sekali berbicara dengannya. Kenangan yang menjelma, membangkitkan perasaan cinta yang pernah dirasai. Perasaan cinta hanya sekadar tumbuh di jantung hati, dan ianya dibawa pergi bersama takdir dan masa. Begitulah cinta. Begitulah insan. Namun dengan subjek 'cinta' ini, banyak yang boleh dipelajari.

Perasaan cinta itu menenangkan.

Setelah chat dengannya di Facebook, saya mengambil wuduk dan bersiap untuk menunaikan solat Isyak.

"Allahuakbar..."


Cinta Yang Pasti Dibalas



Apabila hati ini mengingati orang yang dicintai, hati menjadi tenang. Apabila hati cuba mengungkap kembali kenangan-kenangan yang lalu, hati juga menjadi tenang. Bahkan kadangkala mengukir senyuman.

Setiap yang pernah jatuh cinta pasti merasai indahnya perasaan mencintai. Teringatkan wajahnya menenangkan hati, mendoakan kebaikan untuknya juga menenangkan hati. Melihatnya gembira menenangkan. 

Dalam saya dilamun cinta entah kali yang keberapa, saya teringat bahawa saya pernah mendengar tentang betapa dalamnya kasih sayang Allah kepada manusia. Dikatakan bahawa kasih sayang Allah terhadap lebih daripada seorang ibu menyayangi anaknya,

“Sesungguhnya  Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu  ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim)

Apabila kita mencintai orang lain, kita sering tertanya tanya,
"Aku suka kat dia ni, dia suka tak kat aku.?"


Dalam sebuah hadis qudsi disebutkan,

أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني ، فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي ، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم ، وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه 
ذراعا ، وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه باعا ، وإن أتاني يمشي أتيته هرولة 




“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”. (HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)


"....Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku..." 





Allah pasti menjawab cinta kita.

Allah pasti memberi apabila diminta.

Allah akan mengampunkan dosa.

Perasaan apabila Allah sentiasa di sisi, sukar diungkap oleh kata-kata. Ianya sebuah perasaan antara hamba dengan Rabbnya. Ianya ikatan yang tidak diadili oleh sesiapa melainkan hati.

Di kala umat porak peranda dengan dunia yang cacamerba, di kala awan kelihatan sentiasa mendung dan mentari yang diharapkan tidak kunjung tiba, dikala semuanya kelihatan tidak kena dan kita berdiri seorang, di kala kesunyian terlalu mencengkam sehingga tidak mampu melangkah..

Di kala jiwa insan berputus asa dengan kesilapan-kesilapan semalam, dan apa yang diharapkan hanyalah belas ihsan dan pengampunan daripada Rabbnya..

Di kala itu dia mengangkat tangan berdoa,

"Ya Allah.."

Di kala itu, dia menjadi hamba yang mencintai Tuhan.



















Monday 11 June 2012

Demi Menghentikan Air Mata Itu



Saya banyak membaca blog-blog dan 'mentadabbur' video-video yang berkaitan dengan "kesusahan hidup". Rupanya terlalu orang bersedih dengan apa yang menimpa mereka. Mungkin sebab itu buku "La Tahzan" karya Dr Aidh Al-Qarni begitu laku. Mungkin saya patut mempertimbangkan agar menulis sesuatu seperti itu juga.

Manusia sentiasa mengeluh,

"Kenapalah, Allah uji aku dengan kemiskinan ni?"
"Aku rasa aku dah belajar betul-betul, kenapa aku fail?"
"Kenapa Allah takdirkan lelaki macam ni jadi suami aku?
"

Dan pelbagai lagi luahan-luahan pasrah yang lahir dari benak hati manusia, yang kadangkala tidak disambut oleh sesiapa pun. Hanya diri sendiri merintih nasib.




Secara peribadi saya katakan, saya tidak begitu risau tentang apa yang menimpa manusia, saya lebih risau tentang apa yang manusia lakukan.

Apakah beza antara keduanya?

Apa-apa yang menimpa kita, ianya tidak pernah mendatangkan dosa atau pahala kepada kita. Contohnya, Allah rezekikan kita harta yang banyak, atau rupa paras yang cantik, atau Allah uji dengan kemiskinan harta, dan sebagainya-adakah ianya mendatang dosa atau pahala kepada kita?

Adakah anak jutawan mendapat pahala yang banyak kerana 'kejutawanannya' itu? Adakah orang yang mendapat pangkat yang tinggi mempunyai pahala yang lebih berbanding orang bawahannya?

Tentu tidak. 

Jika kita dihina dan dicaci, adakah kita mendapat dosa? Kalau begitu Nabi saw akan lebih berdosa, kerana berapa ramai musyrikin Mekah yang membencinya. Kutukan orang tidak akan sekali-kali menggugat kita, tetapi apa yang kita lakukan yang menyebabkan kita dicerca, itulah yang dinilai. Jika kita berbuat kebatilan kemudian kita dicerca, maka kita mendapat dosa atas kebatilan, dan memang patut itu dicerca. Dan jika pula kita berbuat yang hak kemudian sejuta manusia mencerca kita, maka itu tidak mendatangkan apa-apa kepada kita.

Apa kata Quran?

Kata Quran,
كل نفس بما كسبت رهينة
"Setiap manusia bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya"


Kita bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan, bukan apa yang menimpa kita. Seseorang yang diuji dengan harta kemudian dia bersyukur, maka ujian itu menjadi nikmat. Seseorang yang diuji dengan harta kemudian dia kufur dan tidak bersyukur, maka itu menjadi musibah kepadanya.

Senang faham begitu.

Tetapi jahilnya manusia, bersedih atas apa yang menimpa kita, tetapi tidak atas maksiat yang kita lakukan!

Apa pula kata Nabi saw?

 “Semua perkara baik untuk mukmin; jika ditimpa musibah dia sabar, maka itu baik untuknya. Jika beroleh kesenangan dia syukur, maka itu baik untuknya”.


Bersedihlah Hanya Kepada Maksiat

Kita selalu dengar orang kata,
"Time-time susah ni baru la kau nak doa...masa senang tak pernah nya nampak nak doa.."

Manusia sentiasa merasakan musibah itu sesuatu yang berat, kalau boleh kita tidak ingin ada musibah dalam dunia ni. Bila seseorang ditimpa musibah, ustaz, ulama, orang bermaksiat, orang biasa, malahan orang kafir pun, mereka berdoa. 

Kerana kita terlalu risaukan tentang apa yang menimpa kita sehingga kita terlupa bahawa kita patut lebih risau tentang apa yang kita lakukan.

Sukar untuk mencari jiwa manusia yang bersedih kerana maksiat. Sukar sekali.

Saya sendiri banyak kecewa dengan diri saya sendiri di atas kesilapan yang dilakukan. Kadangkala kita berharap kita akan jadi manusia yang lebih baik, kita harap kita tak buat perkara-perkara mungkar, kita harap masa silam kita dihiasi dengan ajaran agama yang sebaiknya, agar kita dapat melihat mentari esoknya lebih baik.

Kita harap kesilapan-kesilapan kita, bukan kesilapan kita.

Tetapi sekiranya kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa, kita berjihad dalam melawan diri daripada melakukan maksiat, maka kita akan merasai seolah-olah Allah dekat kepada diri kita. Allah ada untuk kita.

Kerana itu, maka janganlah bersedih.

Alirkanlah air mata itu kerana dosa yang kita lakukan. Alirkanlah air mata itu untuk bertaubat.

Demi tidak mensia-siakan air mata itu.







Thursday 7 June 2012

Dalam Bahasa Ana Anta



“Saya harap kita semua dapat membahasakan diri menggunakan ana anta, sesuai dengan bidang yang kita ambil dan terserlah sedikit imej Islam kita,” ujar seorang muslimah.

Saya hanya mengangguk.

Imej Islam Pada Bahasa

Saya amat jarang membahasakan diri sebagai “ana anta” dalam hampir semua keadaan. Saya melihat soal bahasa kita soal yang kedua, dan saya percaya imej Islam yang sebenar ialah soal sikap kita dan di mana Islam diletakkan dalam hidup kita seharian.

Sewaktu mula-mula menyertai pengajian, saya terasa amat janggal sekali dengan penggunaan bahasa, malahan sikap dan cakap orang-orang di sekeliling. Berpindah daripada sebuah sekolah aliran sains dan mencelupkan diri ke dalam bidang agama, mendatangkan culture shock kepada saya.

Menyertai pengajian agama pun boleh culture shock? Teruk sangat saya ini agaknya
.
Bermula dengan penampilan orang-orang di sekeliling yang subhanallah bertudung labuh, berketayap putih, serta cakap-cakap mereka-sentiasa cakap-cakap agama. Agama menjadi budaya yang cukup tidak asing di kolej, dan saya bersyukur kerana itu.

Namun sayalah yang paling tidak membahasakan diri sebagai “ana anta”. Padahal sudah satu semester berlalu. Saya lebih selesa menggunakan bahasa “aku kau”(ini bahasa biasa di Kuantan) sama ada dengan sahabat lelaki atau perempuan. Jika dengan orang lebih tua saya bahasakan diri saya sebagai “saya awak”
.
Sehingga rakan sekelas menegur,
“Faizin, rasanya kalau guna bahasa ana anta kan lebih manis?”

Saya sekali lagi mengangguk.





Sesetengah orang menjadikan bahasa “ana anta” sebagai ukuran sama ada seseorang itu cukup “Ustaz” atau tidak Islamik atau tidak. Satu perkara yang saya paling tidak sangka ialah bahasa “ana anta” ini menjadi suatu perkara yang dititikberatkan sebelum menyertai sesuatu kumpulan gerakan dakwah.

Saya teringat ketika berborak dengan abang Dr. Firdaus, 

“Abang tak biasa dengan bahasa ana anta ni.”ujarnya.

“Bagi abang itu bukan soal yang penting dalam sesuatu gerakan dakwah. Bagi abang, yang penting keprofesionalan kita dalam bergerak. Abang sangat tidak suka kepada mereka yang berketayap tetapi masih datang lambat, kompetensi kurang, tidak mampu tampil ke hadapan-itu tidak menyumbang kepada umat.”

Saya mendengar dengan teliti.

“Abang pernah menyertai suatu gerakan dakwah dahulu. Dan abang telah keluar daripadanya dan membuat haluan sendiri.”

“Haluan abang ialah dengan menubuhkan faciteam?” saya membalas.

“Ya.”

Faciteam ialah sebuah persatuan di UIA Kuantan. Fokus utamanya ialah berdakwah kepada sekolah-sekolah menengah dan rendah melalui wadah pendidikan dan kepimpinan, termasuklah kem-kem motivasi PMR&SPM, kem-kem kepemimpinan, dan sebagainya.

“Gerakan dakwah yang abang sertai dulu sangat slow. Kami membuat perjumpaan setiap minggu dan berusrah, mentadabbur Al-Quran, dan membahasakan “ana anta”. Tetapi abang rasa gerakan kami tidak kuat. Dakwah kami hanya berlegar di kalangan ahli, dan kami tidak berjaya menarik ramai orang ke usrah kami. Sebab itu abang keluar dan membawa haluan sendiri, menubuhkan Faciteam, dan abang mencari platform terbaik untuk berdakwah dalam kelompok yang lebih ramai dengan gerakan yang lebih teratur.”

“Dan Faciteam tidak menggunakan bahasa ana anta”, saya menyindir.

“Ya, kerana abang tidak biasa.”

Beliau hanya tersenyum.

Betul, Faciteam telah berusia lebih 8 tahun, dengan struktur organisasi yang mantap, bilangan ahli yang ramai dan rangkaian yang luas, usrah yang sistematik dengan pelbagai topik yang membincangkan masalah umat.
Tetapi ahli-ahlinya tidak ramai berkopiah malahan menggunakan bahasa sahaja, “aku kau” “saya awak”, bahasa melayu kita.



Gambaran Imej Islam Perlu Diperluas

Saya baru selesai membaca buku “Beduk Diketuk” karangan Pahrol Mohd Juoi. Isinya digarap dengan begitu baik. Beliau memandang Islam dari perspektif seorang dai’e bukan seorang Ustaz, beliau memahami Islam dengan isi kandungan terpenting Islam itu sendiri dan bukannya “imej-imej” luaran.

Saya tidak nafikan, imej luaran atau syiar Islam itu amat penting, contohnya bahasa ana anta, tasbih di kereta, berkopiah, dan sebagainya. Itu amat digalakkan.

Tetapi yang lebih penting ialah, kita memahami isi kandungan Islam dengan apa yang dikehendaki oleh Islam.

Datang awal,berjalan cepat, kritis dalam pemikiran, professional dalam tindakan, kaliber dalam kepimpinan, itu semuanya Sunnah yang Nabi saw wariskan kepada kita.

Profesional dan tepat dalam tindakan, itulah dakwah yang paling berkesan.

Dan lebih penting, insyaAllah saya akan berbahasa ana anta selepas ini. 




Kerana Mencintai Dia Tidak Semestinya Ke Syurga



Saya sentiasa percaya yang kebahagiaan hidup, bukan bergantung pada makhluk, juga tidak bergantung kepada rezeki yang ditetapkan Allah kepada kita. Pun begitu, setiap orang pasti punya tafsiran sendiri tentang kebahagiaan dalam hidup mereka. 


Ramai yang inginkan isteri atau suami yang cantik, beragama dan berharta.




"Saya nak suami yang soleh, yang boleh bimbing saya ke syurga..."

Itulah ayat-ayat retorik daripada sesetengah novel islamik yang kita dengar.

Sedangkan jika kita sedar, berapa ramai sangat pun isteri jadi baik semata-mata suami. Suami alim, isteri entah ke mana. Suami baik, isteri tak dengar pun kata suami. Atau isteri solehah, suami pun tak ada apa juga. Kadang-kadang saya berjalan-jalan bandar, ibunya bertudung, ayah berkopiah, tapi anak masih pakai 'semacam.' Anak masih hedonisme dan segala macam.

Bila saya buka facebook, atau buka artikel-artikel Islamik berkaitan cinta muda-mudi, selalu terpampang ayat-ayat pasrah,
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.."
"Saya tidak layak untuk dia.."
"Saya tak layak pimpin tangan dia ke syurga..."


Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Itu betul, itu nas daripada Quran. Kita semua percaya.

Tetapi semakin lama, cara fikir kita menjadi tidak betul. 

Seolah-olah kerana dialah kita ke syurga. "Lelaki baik" lah harapan kita dunia akhirat. "Perempuan baik" lah sumber kebahagiaan kita selamanya. Dan semuanya terlalu mengagungkan cinta antara manusia, padahal cinta antara makhluk ini apalah sangat.

Kita kena percaya, iman kita, syurga atau neraka kita, adalah hasil dari titik peluh kita terhadap amalan kita dan hidayah Allah. Bukan jasa orang lain. Bukan jasa makhluk, harta, mahupun pangkat.  Tetapi diri kita yang akan menentukan kita ke syurga atau neraka. Perempuan yang berat timbangan amal baiknya, dia lebih berhak ke syurga, walau suaminya bukan pak lebai pun.

Mendapat isteri atau suami yang baik bukan tidak penting. Ianya penting, tetapi ianya bukan segalanya. Bukan itu pokok pangkal perjuangan kita di dunia ini. 

Berapa ramai muda-mudi yang berubah ke arah kebaikan hanya semata-mata untuk tunjukkan yang dia ni "soleh" atau "solehah", agar mendapat calon suami/isteri yang sama padan solehnya.

Adakah semua lelaki atau perempuan baik akan mendapat pasangan yang baik?

Setahu saya, Nuh a.s, isterinya derhaka kepadanya.
Isteri Nabi Luth a.s, belot terhadap suaminya.
Nabi Ismail menceraikan isterinya setelah dinasihati oleh ayahandanya Nabi Ibrahim a.s.

Mereka semua nabi-nabi.

Tetapi isteri-isteri mereka, bukan perkara terpenting dalam hidup mereka.

Muhajirin dan Ansar, sebagaimana kita tahu, atas dasar Islam, kaum Ansar telah menceraikan isteri-isteri mereka untuk dikahwini oleh orang-orang Muhajirin. Mereka bercerai. Tetapi mereka bercerai atas dasar iman dan taqwa. Tidak ada masalah.

Bermaksud, hidup bersama-sama orang yang kita cintai dan kahwini, bukanlah perkara yang terpenting dalam dunia ini.

Habis, siapakah insan yang kita paling layak cintai lebih daripada jiwa raga dan isi dunia seluruhnya?









Mencintai Aku, Kalian Akan Ke Syurga

Apa kata murabbi kita yang paling agung?

"Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak dan semua manusia yang lain."


Mendengar sabda baginda itu Saidina Umar segera menyatakan keadaan kasihnya terhadap baginda SAW dengan mengatakan:


"Ya Rasulullah… aku memang kasih terhadap engkau, tetapi aku merasa kasihku terhadap diriku sendiri lebih dari kasihku terhadap engkau. Bagaimana Ya Rasulullah?


Rasulullah segera menjawab:
"Imanmu tidak menjadi sempurna sehingga kasihmu terhadap diriku melebihi kasihmu terhadap dirimu sendiri."


Saidina Umar menegaskan dengan katanya:

"Mulai saat ini, aku akan kasih kepada engkau ya Rasulullah melebihi kasihku terhadap diriku sendiri."


Rasulullah saw membalas,
"Sekarang ya Umar."

Mencintai Nabi saw, sepenuh hati, pasti selamat dunia akhirat.
.
.
.


"Lelaki baik" yang kalian cari, mungkin sekali dia juga lupa tentang beras yang kalian suruh beli. Mungkin sekali dia meletakkan kasut merata-rata tempat. Mungkin citarasanya tidak sama dengan kamu. Mungkin dia tidak mampu mendidik anak dengan baik. Mungkin dia tidak peka dengan apa yang kamu suka, dia tidak cakna dengan apa yang kamu benci. Mungkin dia juga ada kelemahan tersendiri yang sebelum ini kamu tak pernah sangka ianya akan wujud dalam bakal suami kamu.

"Perempuan baik" yang kamu cari, mungkin tidak secantik yang kamu harap. Mungkin dia kuat membebel sehingga membingitkan telinga. Mungkin dia tidak ikut semua yang kamu arahkan. Mungkin dia terlalu manjakan anak-anak. Mungkin dia tidak menegur kesilapan kamu.


Ah, ciri-ciri dan penafsiran terhadap "baik" itu sendiri sudah terlalu banyak.

Berpadalah dalam mencintai. Berpadalah dalam memilih.

Pasangan hidup, bukan segala-galanya.
Cuma saya suka mengambil kata-kata Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya "Beduk Diketuk",

"Yang penting bukan siapa isterimu semasa engkau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah dengan kamu. Jadi, janji Allah bahawa lelaki baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju ke syurga!"

Saya ingin menjadi lelaki yang tidak terlalu memilih dalam memilih.





Wednesday 6 June 2012

Mendiamkan Mereka Yang Angau






Saya terpilih sebagai fasilitator untuk minggu orientasi Kursus Intensif Bahasa Arab(KIBA) Kolej IKIP. Semasa dalam LDK, salah seorang junior bertanya,
"Abang Faizin, abang bila nak kahwin?"

Saya macam terkejut dan hairan sebab tiba-tiba tanya soalan macam tu padahal umur saya baru 19. Masih muda dan bergaya. Tambahan pula, rasanya sepanjang LDK tadi memang tak sentuh langsung pasal topic ‘jiwang-jiwang’ atau ‘kahwin-kahwin’.

Saya tarik nafas,
"Sepanjang 4 tahun abang degree ni, soal perempuan ialah benda terakhir sekali yang abang akan fikir."

Bukan saya tidak mahu atau tidak terfikir soal pasangan hidup. Mana ada remaja yang jiwanya tidak bergelora. Jarang ada remaja yang tak diuji dengan perasaan cintan-cintun ni. Lebih jarang untuk kita lihat lelaki yang tidak diuji dengan fitnah wanita.

Tetapi bila saya amati semula kisah cinta(tak kesampaian) saya sepanjang 19 tahun saya hidup di dunia, orang-orang yang saya sayang, saya secara peribadi rasa,

"Tak ada satu pun kisah cinta saya yang saya rasa bertepatan dengan apa yang dikehendaki Nabi saw dan syariat."

Memang betul, ada junior-junior yang subhanallah cantik dan bertudung labuh segala bagai, dan saya secara jujurnya agak tertarik, tetapi bila saya pandang balik diri saya, saya cuma kata,

"Faizin, bukan kali ni. Cukuplah apa yang kau dah belajar dan lalui pasal perempuan. Bukan kali ni, bukan kali ni.”

Pernah sekali, saya ditegur oleh kakak senior tentang masalah ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Saya berterima kasih di atas teguran tersebut, walaupun teguran tersebut sangat kasar dan sememangnya memedihkan ulu hati.

“Kita pelajar syariah, sepatutnya masalah ikhtilat antara lelaki perempuan sudah tak timbul lagi. Macam mana kita bakal ustaz dan ustazah ingin berdepan dan memberi teguran kepada masyarakat kalau kita sendiri masih tidak beres?”

Lantang suaranya.

Tegas pendiriannya.

Sebenarnya teguran tersebut bersifat umum, tetapi oleh kerana saya yang paling banyak memakan cili, sayalah yang paling terasa pedasnya.

Kebenaran ialah kebenaran. Tidak ada siapa yang nak menyangkal.

Tetapi, kebenaran juga ada tempatnya.

Dalam kita merungkai dan cuba menyelesaikan kemelut masalah jiwa muda-mudi, amat penting untuk meletakkan kebenaran pada tempatnya. Mencari di mana pucuk pangkal masalahnya.

Berkomunikasi Dengan Kebenaran






Saya agak terkilan dengan beberapa agamawan muda-mudi yang sesetengahnya tidak berapa berhikmah dalam memberi jawapan kepada persolan cinta muda-mudi. Ketegasan dalam memberi jawapan kadang-kala tidak membantu.

Misalnya kalau orang bertanya kepada saya,

“Faizin, couple tu halal ke haram?”
“Bergayut malam-malam tu halal ke haram?”
“Mesej antara lelaki perempuan tu halal ke haram?”

Sebenarnya muda-mudi tidak mahukan jawapan.

Sebenarnya mereka yang bertanya itu sudah ada jawapannya. Hati mereka tidak tenang. Mereka rasa ada yang tak kena.

Mereka cuma mahukan SEBAB. Mereka inginkan suatu sebab yang kukuh kenapa perkara itu menjadi haram. Tetapi apabila mereka mengemukakan soalan seperti itu kepada para agamawan, jawapannya cukup mudah,
“Dah tahu benda ni haram, kenapa tanya lagi?”

Nabi saw juga pernah mengalaminya.

Apabila datang seorang pemuda kepada baginda dan dia bertanya,
“Wahai Rasulullah, bolehkah aku berzina?”

Adakah pemuda tersebut begitu bodoh dan tidak tahu hukum hakam? Sudah pasti dia tahu. Perbuatan terkutuk seperti zina, semua orang tahu akan keharamannya.

Apa jawapan Nabi saw?

“Wahai engkau pemuda, aku ingin bertanya terlebih dahulu kepadamu, jika ada seseorang datang kepada mu kemudian ia bicara kepadamu “bolehkah aku menzinai ibumu?”

Si pemuda itu pun lantas menjawab dengan lantang TIDAK.

Rasulullah Muhammad SAW kemudian berkata lagi kepada si pemuda,

“Jika datang seorang laki-laki kepadamu dan bertanya kepadamu “bolehkah aku menzinai saudara perempuanmu”?

Pemuda tersebut dengan geram dan emosi menjawab `TIDAK’.

Rasulullah meneruskan pembicaraannya kepada si pemuda tadi,
“Jika datang seorang laki-laki kepadamu dan bertanya kepadamu bolehkah aku menzinai anak perempuanmu?”

Si pemuda tadi terdiam dan kemudian ia menangis sujud di hadapan Rasulullah.

Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada si pemuda,
“Setelah engkau mendengarkan ceritaku tadi apakah aku akan mengizinkanmu untuk
melakukan zina?”

Si pemuda tadi terkulai dan menangis di hadapan Rasulullah.

Itu cara Rasulullah.

Cara Menangani Masalah Cinta

Saya akui perkara ini tidak semudah yang disangka. Saya belajar dengan cara yang sukar. Saya pernah beberapa kali jatuh cinta, tetapi kesemua cinta saya ditolak. Agak kelakar bunyinya. Akhirnya saya cukup bersyukur kerana terselamat daripada fitnah dan masalah cinta muda-mudi yang tidak pernah menguntungkan.

Saya belajar dengan perkataan “serik”.

Agak menyesal apabila teringat betapa jahilnya saya suatu ketika dahulu.

Untuk mendiamkan pemuda-pemuda yang “angau”, ianya tidak pernah mudah.

Namun yang pasti, masalah ini tidak selesai dengan hanya mengatakan,
“Ini HARAM!”
“Ini HALAL.”


Tuesday 5 June 2012

Menutup Aurat Tidak Semesti Bertudung Labuh..



“Faizin, sori ganggu. Nak tanya, orang perempuan pakai tudung kena tutup dada kan? Tapi kalau kes yang tudung masuk dalam baju macam mana ek?”





Tersentak saya bila baca soalan ni. Biasa berlaku perkara macam ni, terutama kalau pergi kem, atau aktiviti riadah, ada segelintir muslimat kita yang memasukkan tudung mereka ke dalam baju.

Tudung mereka labuh, tapi mereka masukkan ke dalam baju.
Dalam pada kita memerhati gaya berfesyen muslimah hari ni, kita dapat lihat macam-macam ragam manusia.


Yang tidak bertudung.

Yang bertudung ‘tidak berbaju’.

Yang berbaju tidak bertudung.

Yang bertudung dengan busana muslimahnya yang tidak berapa muslimah.

Yang bersanggulnya.

Dan isu-isu berpakaian umat Islam ini tidak pernah selesai, sebab amat sukar untuk kita realisasikan satu pemandangan yang semua umatnya menutup aurat dengan sempurna. Amat sukar sekali. Inginkan semua muslimah menutup aurat dengan sempurna seolah-olah kita harapkan semua pemuda berjemaah subuh di masjid dan surau.

Sembahyang Jumaat pun, masih ramai di kedai-kedai kopi.

Menutup Fizikal

Berbalik kepada topik kita tadi, ya, menutup aurat tidak semestinya bertudung labuh.

Pengalaman saya, saya pernah ada seorang sahabat yang fizikalnya agak kurus dan kecil. Pakaiannya juga biasa sahaja, baju lengan panjang dan tudung saiznya biasa sahaja, tidak terlalu labuh dan tidak pula singkat, memang sedang-sedang sahaja. Tapi bagi saya dia telah berjaya menutup aurat dengan sempurna.
  
“Tapi kalau kes yang tudung masuk dalam baju macam mana ek?”

Untuk mengelakkan saya berfatwa sendiri, tangan ini pun mencapai telefon bimbit dan bertanya Ustaz Azizul, ustaz yang mengajar saya syariah di sekolah menengah.

Dia menjawab,
“Kalau masuk dalam baju pastikan bentuk tu tidak membekaskan bentuk zahir dada.”

Jadi kriteria menutup aurat ini cukup simple dan mudah,
1)   Membalut tubuh kecuali muka dan dua tapak(kalau saya boleh guna bahasa membalut)
2)   Tidak menampakkan bentuk tubuh

Once you’ve done that you’re ready to go! ^^

Sungguh mudah.

Tidak sukar.

Siapa kata perlu bertudung labuh baru dikira Islamik dan menutup aurat? Tidak juga. Ianya bergantung kepada bentuk tubuh kita.

Dalam pada kita berdakwah dan menyeru kepada wanita-wanita comel ini agar menutup aurat, ada baiknya kita tidak meletakkan piawaian yang terlalu tinggi terhadap mereka.

Saya pernah mendengar sesuatu perkataan yang baik, iaitu,

خاطب الناس بقدر عقولهم
“Berkata kepada manusia dengan kadar akal mereka”

Walaupun saya lelaki, saya merasakan menutup aurat itu cukup mudah baik kepada lelaki mahupun perempuan.

Tidakkah begitu?


Monday 2 April 2012

Demi Masa: Ehh, Aku dah T.U.A?








Al Quran, Allah Azza Wajalla bersumpah demi sesuatu yang manusia panggil masa.


Kata Allah,

A001
Demi Masa!

Dalam Al-Quran juga, Allah bersumpah dengan banyak perkara. Demi Matahari. Demi Bulan. Demi siang dan malam. Dan segala sumpah-sumpah tersebut hanya layak bagi Allah. Dia Tuhan. Dia boleh berbuat apa yang Dia mahu. Namun manusia, kita hanya dibenarkan untuk bersumpah dengan menggunakan nama Nya.

Demi Allah!

Manusia, hidup mereka sangat-sangat pendek.

Paling lama, 60 tahun.
Tolak dengan umur baligh(amalan kita tak dikira selagi tak baligh), kita tolak dengan katakan, 15 tahun. Umur manusia sekarang menjadi 45 tahun.

Kita tolak pula dengan tidur. Kerana tidur ini mengambil bahagian yang sangat banyak dalam hidup manusia. Tidur manusia 8 jam sehari. Kita darab dengan 2/3, umur manusia hanya tinggal 30 tahun.

Kita, Allah swt bagi 30 tahun untuk hidup. Kita agak-agak macam tu lah. Padahal berapa ramai sahabat, kenalan, saudara-mara kita yang meninggal dalam umur tak sampai 40 tahun, bahkan lebih muda daripada itu.

Kematian itu sangat-sangat dekat.

Umur manusia pendek, tapi perjuangan manusia sangat hebat.

Kita lihat sejarah manusia, peperangan-peperangan yang berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia, betapa manusia bertungkus-lumus bermati-matian untuk mendapat harta, kekayaan, pangkat, dan segala apa yang manusia boleh capai dengan tempoh 30 tahun yang diberikan oleh Tuhan.

Bagi sang raja, raja bermatian mempertahankan pangkat. Bagi si kaya, si kaya bermatian mengejar harta. Sehingga apabila kita melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh manusia dalam tempoh 3o tahun itu, kita kata,

"Manusia ini sangat ajaib sebenarnya.!"

Manusia apabila mengejar dunia, mereka menjadi sangat hebat.

Student boleh tak tidur malam mengejar exam.
Ahli parlimen boleh berkejar ke sana sini, berceramah di sana sini unruk memancing undi. Tidak terlintas penat baginya.(sekarang nak dekat pilihanraya da)

Tapi apa yang Allah kata?


A002
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

"Aku penat-penat buat duit, aku berusaha bertungkus-lumus kekalkan pangkat aku, Tuhan kata aku rugi?"

Lalu manusia berkata "Tidak!"

Aku ada harta, rumah aku besar, aku ada pangkat dan kemuliaan dalam kalangan manusia, aku tidak rugi. Bahkan aku tak menyesal pun sepanjang aku hidup di dunia ni!
 

Tuhan pun menjawab,

A003
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


"Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. Selain daripada itu, manusia seluruhnya RUGI!"

Itu amaran daripada Tuhan.

Kita dalam kerugian. Aku dan anda semua.




Kita lihat suatu orang tua. Mungkin dalam hatinya,
"Alah, aku dah tua-tua ni tinggal nak ibadat jer. Malas la nak kisah hal orang lain.."

Betul, kita pun kata, orang tua ni beramal soleh. Pergi masjid selalu. Kita puji amalan dia. Kita setuju dengan dia.

Tapi barangkali Surah Al-Asr ini yang tak setuju dengan dia.

Apa yang Surah ni pertikai?

"..dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar..."

Islam suruh umat dia berpesan-pesan kepada kebaikan. Islam tak suruh umat dia duduk terperuk dekat masjid buat amalan sorang-sorang.

Tak, Islam tak pernah suruh macam tu.
Islam suruh buat amal, buat amal jemaah. Solat, biar solat jemaah. Nak masuk syurga? Islam suruh masuk ramai-ramai. Tak kira apa jenis peringkat umur, mati itu boleh datang bila-bila. Jadi semua orang kena saling nasihat-menasihati antara satu sama lain.

Semua orang bertanggungjawab terhadap amar makruf nahi mungkar.

Sekejap sangat umur kita ni.

Kita kerja kerajaan. Kita kerja 20 30 tahun untuk nikmati hasil kerja kita lepas pencen. Kita nak dalam akaun kita ada RM 300k. Kita nak nikmati duit tu lepas kita pencen. Tapi lepas kita pencen, kita pun diserang kencing manis. Darah tinggi. Sakit jantung. Anak kita, dah tak balik untuk jenguk kita.

Apa nilai RM300k tu tadi?

Barangkali ketika itu kita pun akan berkata,

"Kalo aku boleh undur masa, aku taknak pun 300k ni. Aku nak kaki aku, aku nak anak aku balik jenguk aku. Kenapalah aku tak ajar anak aku agama elok-elok?"
Kenapalah aku tak berpesan-pesan kepada anak isteri aku tentang agama? Supaya aku tak menyesal di kemudian hari?

Kita semua kena fikirkan sama-sama.

Mengingati mati bukan bermaksud kita tak payah buat amalan dunia ni betul-betul. Tidak. Student kena belajar betul-betul. Bos kena arah pekerja buat kerja betul-betul. Guru kena didik anak murid betul-betul.

Mengingati mati supaya akhirat sentiasa berada teratas daripada dunia dalam hati kita.

Aku nak akhiri entri ni suatu pesanan Nabi saw kepada Salman Al Farisi ra,



"Wahai Salman, ambillah dunia ini sekadar apa yang diperlukan untuk seorang pengembara meneruskan perjalanannya."



Saturday 31 March 2012

Tentang Cinta, Cara Nak Buat Keputusan Dan Kahwin Awal, Baik Yang Islamic Atau Tidak

Aku baru-baru ni puas memikirkan apa sebenarnya matlamat, panduan yang diberikan oleh Islam tentang soal cinta, dan untuk umur macam aku ni, aku memikirkan tentang kahwin awal. Sebab aku percaya perkahwinan tu ada peranan yang lebih besar untuk agama dan umat ini.

Melakukan perkara yang halal tetapi tidak kena cara, akan mengundang musibah.

Contohnya, kita makan makanan dengan tangan yang tidak dibasuh. Makanan itu masih akan menjadi halal. Tapi masalahnya berpunca daripada 'tangan yang kotor'. Dan isu ini aku akan sentuh dalam bab 'Kahwin Awal.'

Cinta sebelum perkahwinan sedikit sebanyak ada peranannya sendiri dalam mencorakkan manusia dan mematangkan manusia.

Aku bukan nak menghalalkan yang haram. Tidak sama sekali. Ini sekadar pandangan yang aku mulakan dengan bacaan bismillah. Contohnya, doktor memberi suntikan insulin kepada pesakit dengan kadar 25 ml. 25 ml akan memberi manfaat yang sangat baik kepada pesakit. Tetapi 26 ml mengundang bencana. Dan isu ini aku akan sentuh dalam bab 'Cinta Sebelum Kahwin; Mengambil Yang Sekadarnya'




باسم الله الرحمن الرحيم

Kahwin Awal

Isu ni aku pernah sentuh sebelum ni, rasanya lebih baik aku sentuh sekali lagi sebab aku kira masih ramai yang memerlukan pencerahan dan sedikit panduan. Dan aku nak sentuh bab ni terutamanya kepada yang beraliran agama atau berfahaman agama yang kuat tak kira la dia belajar pengkhususan dalam bidang agama atau tidak. 


Aku tak boleh menafikan yang kebanyakan student beraliran agama mempunyai suatu stigma bahawa,

"Ishh, cinta sebelum kahwin kan berdosa? Mana boleh bercinta sebelum kahwin. So bila aku jatuh cinta, aku kena consider untuk kahwin terus."



So bila aku jatuh cinta, aku kena consider untuk kahwin terus.










Ini soalnya.

Dan bila minda seperti ini muncul(aku tak cakap salah), ianya akan membina suatu cara berfikir dengan terburu-buru.

Ya, berkahwin dengan terburu-buru, atas nama Islam.

Sebab aku pernah ada seorang kenalan yang telah bertunang, umurnya lebih kurang sama dengan aku. Dia mengadu kepada aku,

"Faizin, saya rasa tunang saya tu tak sesuai la untuk saya." Jelas Cik K.

"Kenapa awak rasa macam tu pulak? Bukan okay ke selama ni?" Aku bertanya kembali.

"Bila dah bertunang tu and saya semakin lama kenal dia, saya rasa dia memang tak sesuai untuk saya. Saya mula rasa yang saya taknak orang macam dia yang memimpin keluarga saya nanti."


Aku terdiam.

Dalam umur yang sebegitu muda, dah kena fikir soal calon suami. Belajar pun rasanya dia tak stabil lagi.

Memilih pasangan hidup ialah soal yang besar.


"Kenapa awak bertunang dengan dia in the first place?"

"Saya berjumpa dengan dia semasa kami sama-sama buat persediaan dulu. Sekarang dia sudah belajar di tempat lain. Saya pertama kali keluar dari suasana sekolah agama masa tu, and saya pertama kali jatuh cinta. Dan untuk pertama kali tu, dia pun sukakan saya juga. So, dia berikan saya sebentuk cincin dan ajak saya bertunang. Kedua-dua belah keluarga setuju."


Terangnya jujur.

"Malangnya apabila dia belajar dia tempat lain dan kami melalui tempoh pertunangan bersama-sama, saya mula kenal dia dengan lebih mendalam. Dan dia..dia ada buat sesuatu yang saya kira tak dapat saya maafkan. Saya menangis sebab perkara ni. Saya kecewa dengan dia.
"

Dalam penjelasan dia di sini, aku dapat detect dua masalah.

Yang pertama, wujudnya stigma jatuh cinta-so-kena kahwin terus.

Yang kedua, dia lepasan  sekolah agama so masih belum kenal jenis-jenis lelaki, minda masih belum cukup matang(aku tak cakap tak matang) and mungkin semasa dia buat persediaan tu, dia alami culuture shock. Maklumlah, pertama kali bercinta.


Ini membawa kepada satu konklusi lain iaitu 'membuat keputusan untuk berkahwin secara terburu-buru'.

Aku secara peribadi tak percayakan love in the first sight, sebab kadang-kadang ianya berdasarkan nafsu.

Ada tak orang lelaki yang alami cinta pandang pertama kepada (minta maaf cakap) perempuan yang kulit agak gelap, badan sedikit berisi and muka tidak berapa cantik? Tidak, kan?

Cinta pandang pertama kami ialah untuk perempuan-perempuan yang kulit cerah+ayu+bertudung labuh(untuk cinta versi islamic sikit). But then, sama je kan? Baik aliran Islam atau tidak, lelaki yang cinta pandang pertama ni biasanya hanya untuk perempuan cantik.


Kita, gagal membezakan cinta nafsu dengan cinta sejati. Dan kita selalu guna nama agama untuk capai/halalkan apa yang kita mahukan.


Ni pandangan peribadi aku tentang cara-cara nak pilih calon suami dan isteri. Tak kisah la kamu semua nak kahwin awal ke cepat, saya kira semua perkara ni perlu dipenuhi terlebih dahulu.



1) Aku tak galakkan kahwin kerana cinta semata-mata. Perkahwinan ialah suatu perkara yang lebih besar daripada tu. Kita berkahwin dengan orang yang dapat uruskan rumahtangga kita dengan cara terbaik. Mungkin kita cinta kepada orang tu, tapi rupanya dia dungu dalam menguruskan rumahtangga. Yang tak pandai seni perkahwinan, tak faham apa erti sebenar perkahwinan, pergi main jauh-jauh.














2) Kita berkahwinan bila kita rasa kita 'patut berkahwin', dan saya tak galakkan berkahwin bila kita 'perlu berkahwin.' Apa beza antara keduanya?

Patut kahwin.

"Aku umur baru 19 tahun. Tapi financial aku dah okay, aku pandai cari duit secara pasif dan pelajaran aku pun ok. Tak terlalu bijak tapi tak lah bodoh sangat. Aku pandai baiki-baiki paip dan peralatan elektrik. Aku jenis yang ada survival skill yang tinggi so aku rasa aku boleh mengemudi rumahtangga dalam apa jua keadaan. Dan aku juga pandai mengaji and jadi imam+solat tak pernah tinggal."

Perlu berkahwin




"Aku umur 22 tahun. Financial aku tak okay and belajar pun macam dungu jer. Tapi aku dah tak tahan dah ni fikir pasal Farah setiap masa. Rindu gila aku kat dia. Mandi buat-buat basah. Makan kadang-kadang jer kenyang. Serius tak tahan dah aku ni. Kalau dapat kahwin dengan Farah, dapat tidur dengan dia, PEHHHH.."


See the difference?

Bila kita kahwin dengan keadaan 'perlu berkahwin', kita mudah jadi tak rasional. Kita dikaburi cinta, dan nafsu. Kalau kita putus cinta, kita akan terjun bangunan.

Nak ke kamu wanita-wanita yang comel kahwin dengan lelaki yang dalam keadaan macam tu?

Pasti tidak.

Tapi itulah realiti sebenar lelaki yang mabuk cinta, nak berdating setiap masa dan berkepit dengan awek.








3) Kita perlu menilai calon pasangan TANPA perasaan cinta.















Bila kita dilamun cinta, fikiran kita hampir-hampir tidak ada. Akal tak sempat berfikir. Hati gundah gulana, teringat kepada si dia.

Ini akan membuatkan kita terburu-buru dalam berkahwin.

Cara nak buang cinta? Tanya rakan-rakan pasangan kita tu tentang diri pasangan kita tu. Means, tanya la kawan-kawan, Ramli tu baik ke tak, Fatimah ni pandai masak ke tak.

Aku pernah buat macam ni semasa aku cintakan Miss A dulu. Aku tak contact dia untuk tempoh yang agak lama, sibukkan diri, and kemudian cinta benar-benar hilang dari diri aku. Then baru aku nilai dia semula, berpaksikan soalan,

 "Boleh ke dia jadi ibu kepada anak-anak aku?"

Dan aku menilai dia dari sudut keibuan, bukan sudut nafsu atau tubuh fizikal yang ada pada dia. Dan aku kira inilah cara terbaik untuk cari menilai pasangan.



Konklusi untuk kali ni.


Aku fahami dan sedar yang terdapat ramai muda-mudi di luar sana yang berlatarbelakangkan agama yang berfikir tentang kahwin awal terutamanya untuk menjaga pandangan dan hawa nafsu. Aku tak nafikan kebenaran niat kamu semua dan aku rasa niat itu patut dipuji.

Tapi aku juga tak boleh setuju 100% jika kamu semua berkahwin dalam keadaan tidak matang, terutama para lelaki. Sebab lelaki yang akan memimpin rumahtangga. Lelaki yang tidak rasional dalam membuat keputusan akan mengundang bencana dalam rumahtangga.

Setakat sini sahaja entri aku untuk kali ni. Sebarang penambahbaikan atau komen berkenaan isu ini sangat aku alu-alukan.



Seterusnya, aku akan sambung dalam isu  'Cinta Sebelum Kahwin; Mengambil Yang Sekadarnya' dalam entri berikutnya.