Thursday 7 June 2012

Kerana Mencintai Dia Tidak Semestinya Ke Syurga



Saya sentiasa percaya yang kebahagiaan hidup, bukan bergantung pada makhluk, juga tidak bergantung kepada rezeki yang ditetapkan Allah kepada kita. Pun begitu, setiap orang pasti punya tafsiran sendiri tentang kebahagiaan dalam hidup mereka. 


Ramai yang inginkan isteri atau suami yang cantik, beragama dan berharta.




"Saya nak suami yang soleh, yang boleh bimbing saya ke syurga..."

Itulah ayat-ayat retorik daripada sesetengah novel islamik yang kita dengar.

Sedangkan jika kita sedar, berapa ramai sangat pun isteri jadi baik semata-mata suami. Suami alim, isteri entah ke mana. Suami baik, isteri tak dengar pun kata suami. Atau isteri solehah, suami pun tak ada apa juga. Kadang-kadang saya berjalan-jalan bandar, ibunya bertudung, ayah berkopiah, tapi anak masih pakai 'semacam.' Anak masih hedonisme dan segala macam.

Bila saya buka facebook, atau buka artikel-artikel Islamik berkaitan cinta muda-mudi, selalu terpampang ayat-ayat pasrah,
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.."
"Saya tidak layak untuk dia.."
"Saya tak layak pimpin tangan dia ke syurga..."


Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Itu betul, itu nas daripada Quran. Kita semua percaya.

Tetapi semakin lama, cara fikir kita menjadi tidak betul. 

Seolah-olah kerana dialah kita ke syurga. "Lelaki baik" lah harapan kita dunia akhirat. "Perempuan baik" lah sumber kebahagiaan kita selamanya. Dan semuanya terlalu mengagungkan cinta antara manusia, padahal cinta antara makhluk ini apalah sangat.

Kita kena percaya, iman kita, syurga atau neraka kita, adalah hasil dari titik peluh kita terhadap amalan kita dan hidayah Allah. Bukan jasa orang lain. Bukan jasa makhluk, harta, mahupun pangkat.  Tetapi diri kita yang akan menentukan kita ke syurga atau neraka. Perempuan yang berat timbangan amal baiknya, dia lebih berhak ke syurga, walau suaminya bukan pak lebai pun.

Mendapat isteri atau suami yang baik bukan tidak penting. Ianya penting, tetapi ianya bukan segalanya. Bukan itu pokok pangkal perjuangan kita di dunia ini. 

Berapa ramai muda-mudi yang berubah ke arah kebaikan hanya semata-mata untuk tunjukkan yang dia ni "soleh" atau "solehah", agar mendapat calon suami/isteri yang sama padan solehnya.

Adakah semua lelaki atau perempuan baik akan mendapat pasangan yang baik?

Setahu saya, Nuh a.s, isterinya derhaka kepadanya.
Isteri Nabi Luth a.s, belot terhadap suaminya.
Nabi Ismail menceraikan isterinya setelah dinasihati oleh ayahandanya Nabi Ibrahim a.s.

Mereka semua nabi-nabi.

Tetapi isteri-isteri mereka, bukan perkara terpenting dalam hidup mereka.

Muhajirin dan Ansar, sebagaimana kita tahu, atas dasar Islam, kaum Ansar telah menceraikan isteri-isteri mereka untuk dikahwini oleh orang-orang Muhajirin. Mereka bercerai. Tetapi mereka bercerai atas dasar iman dan taqwa. Tidak ada masalah.

Bermaksud, hidup bersama-sama orang yang kita cintai dan kahwini, bukanlah perkara yang terpenting dalam dunia ini.

Habis, siapakah insan yang kita paling layak cintai lebih daripada jiwa raga dan isi dunia seluruhnya?









Mencintai Aku, Kalian Akan Ke Syurga

Apa kata murabbi kita yang paling agung?

"Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak dan semua manusia yang lain."


Mendengar sabda baginda itu Saidina Umar segera menyatakan keadaan kasihnya terhadap baginda SAW dengan mengatakan:


"Ya Rasulullah… aku memang kasih terhadap engkau, tetapi aku merasa kasihku terhadap diriku sendiri lebih dari kasihku terhadap engkau. Bagaimana Ya Rasulullah?


Rasulullah segera menjawab:
"Imanmu tidak menjadi sempurna sehingga kasihmu terhadap diriku melebihi kasihmu terhadap dirimu sendiri."


Saidina Umar menegaskan dengan katanya:

"Mulai saat ini, aku akan kasih kepada engkau ya Rasulullah melebihi kasihku terhadap diriku sendiri."


Rasulullah saw membalas,
"Sekarang ya Umar."

Mencintai Nabi saw, sepenuh hati, pasti selamat dunia akhirat.
.
.
.


"Lelaki baik" yang kalian cari, mungkin sekali dia juga lupa tentang beras yang kalian suruh beli. Mungkin sekali dia meletakkan kasut merata-rata tempat. Mungkin citarasanya tidak sama dengan kamu. Mungkin dia tidak mampu mendidik anak dengan baik. Mungkin dia tidak peka dengan apa yang kamu suka, dia tidak cakna dengan apa yang kamu benci. Mungkin dia juga ada kelemahan tersendiri yang sebelum ini kamu tak pernah sangka ianya akan wujud dalam bakal suami kamu.

"Perempuan baik" yang kamu cari, mungkin tidak secantik yang kamu harap. Mungkin dia kuat membebel sehingga membingitkan telinga. Mungkin dia tidak ikut semua yang kamu arahkan. Mungkin dia terlalu manjakan anak-anak. Mungkin dia tidak menegur kesilapan kamu.


Ah, ciri-ciri dan penafsiran terhadap "baik" itu sendiri sudah terlalu banyak.

Berpadalah dalam mencintai. Berpadalah dalam memilih.

Pasangan hidup, bukan segala-galanya.
Cuma saya suka mengambil kata-kata Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya "Beduk Diketuk",

"Yang penting bukan siapa isterimu semasa engkau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah dengan kamu. Jadi, janji Allah bahawa lelaki baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju ke syurga!"

Saya ingin menjadi lelaki yang tidak terlalu memilih dalam memilih.





1 comment:

  1. Mohon maaf.
    saya suka sekali dengan gambar ilustrasi yang dipakai dalam post ini (gambar laki-laki yang memberikan bunga). Boleh saya download dan sy pakai untuk membuat postcard? :D

    ReplyDelete