Monday 11 June 2012

Demi Menghentikan Air Mata Itu



Saya banyak membaca blog-blog dan 'mentadabbur' video-video yang berkaitan dengan "kesusahan hidup". Rupanya terlalu orang bersedih dengan apa yang menimpa mereka. Mungkin sebab itu buku "La Tahzan" karya Dr Aidh Al-Qarni begitu laku. Mungkin saya patut mempertimbangkan agar menulis sesuatu seperti itu juga.

Manusia sentiasa mengeluh,

"Kenapalah, Allah uji aku dengan kemiskinan ni?"
"Aku rasa aku dah belajar betul-betul, kenapa aku fail?"
"Kenapa Allah takdirkan lelaki macam ni jadi suami aku?
"

Dan pelbagai lagi luahan-luahan pasrah yang lahir dari benak hati manusia, yang kadangkala tidak disambut oleh sesiapa pun. Hanya diri sendiri merintih nasib.




Secara peribadi saya katakan, saya tidak begitu risau tentang apa yang menimpa manusia, saya lebih risau tentang apa yang manusia lakukan.

Apakah beza antara keduanya?

Apa-apa yang menimpa kita, ianya tidak pernah mendatangkan dosa atau pahala kepada kita. Contohnya, Allah rezekikan kita harta yang banyak, atau rupa paras yang cantik, atau Allah uji dengan kemiskinan harta, dan sebagainya-adakah ianya mendatang dosa atau pahala kepada kita?

Adakah anak jutawan mendapat pahala yang banyak kerana 'kejutawanannya' itu? Adakah orang yang mendapat pangkat yang tinggi mempunyai pahala yang lebih berbanding orang bawahannya?

Tentu tidak. 

Jika kita dihina dan dicaci, adakah kita mendapat dosa? Kalau begitu Nabi saw akan lebih berdosa, kerana berapa ramai musyrikin Mekah yang membencinya. Kutukan orang tidak akan sekali-kali menggugat kita, tetapi apa yang kita lakukan yang menyebabkan kita dicerca, itulah yang dinilai. Jika kita berbuat kebatilan kemudian kita dicerca, maka kita mendapat dosa atas kebatilan, dan memang patut itu dicerca. Dan jika pula kita berbuat yang hak kemudian sejuta manusia mencerca kita, maka itu tidak mendatangkan apa-apa kepada kita.

Apa kata Quran?

Kata Quran,
كل نفس بما كسبت رهينة
"Setiap manusia bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya"


Kita bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan, bukan apa yang menimpa kita. Seseorang yang diuji dengan harta kemudian dia bersyukur, maka ujian itu menjadi nikmat. Seseorang yang diuji dengan harta kemudian dia kufur dan tidak bersyukur, maka itu menjadi musibah kepadanya.

Senang faham begitu.

Tetapi jahilnya manusia, bersedih atas apa yang menimpa kita, tetapi tidak atas maksiat yang kita lakukan!

Apa pula kata Nabi saw?

 “Semua perkara baik untuk mukmin; jika ditimpa musibah dia sabar, maka itu baik untuknya. Jika beroleh kesenangan dia syukur, maka itu baik untuknya”.


Bersedihlah Hanya Kepada Maksiat

Kita selalu dengar orang kata,
"Time-time susah ni baru la kau nak doa...masa senang tak pernah nya nampak nak doa.."

Manusia sentiasa merasakan musibah itu sesuatu yang berat, kalau boleh kita tidak ingin ada musibah dalam dunia ni. Bila seseorang ditimpa musibah, ustaz, ulama, orang bermaksiat, orang biasa, malahan orang kafir pun, mereka berdoa. 

Kerana kita terlalu risaukan tentang apa yang menimpa kita sehingga kita terlupa bahawa kita patut lebih risau tentang apa yang kita lakukan.

Sukar untuk mencari jiwa manusia yang bersedih kerana maksiat. Sukar sekali.

Saya sendiri banyak kecewa dengan diri saya sendiri di atas kesilapan yang dilakukan. Kadangkala kita berharap kita akan jadi manusia yang lebih baik, kita harap kita tak buat perkara-perkara mungkar, kita harap masa silam kita dihiasi dengan ajaran agama yang sebaiknya, agar kita dapat melihat mentari esoknya lebih baik.

Kita harap kesilapan-kesilapan kita, bukan kesilapan kita.

Tetapi sekiranya kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa, kita berjihad dalam melawan diri daripada melakukan maksiat, maka kita akan merasai seolah-olah Allah dekat kepada diri kita. Allah ada untuk kita.

Kerana itu, maka janganlah bersedih.

Alirkanlah air mata itu kerana dosa yang kita lakukan. Alirkanlah air mata itu untuk bertaubat.

Demi tidak mensia-siakan air mata itu.







1 comment:

  1. Allah tau ape yg terbaik utk kita kn?
    moga diri ni menghargai setiap panas dan hujan yg dihadapi agar bertemu pelangi yang menggembirakan :)

    ReplyDelete