Thursday 7 June 2012

Dalam Bahasa Ana Anta



“Saya harap kita semua dapat membahasakan diri menggunakan ana anta, sesuai dengan bidang yang kita ambil dan terserlah sedikit imej Islam kita,” ujar seorang muslimah.

Saya hanya mengangguk.

Imej Islam Pada Bahasa

Saya amat jarang membahasakan diri sebagai “ana anta” dalam hampir semua keadaan. Saya melihat soal bahasa kita soal yang kedua, dan saya percaya imej Islam yang sebenar ialah soal sikap kita dan di mana Islam diletakkan dalam hidup kita seharian.

Sewaktu mula-mula menyertai pengajian, saya terasa amat janggal sekali dengan penggunaan bahasa, malahan sikap dan cakap orang-orang di sekeliling. Berpindah daripada sebuah sekolah aliran sains dan mencelupkan diri ke dalam bidang agama, mendatangkan culture shock kepada saya.

Menyertai pengajian agama pun boleh culture shock? Teruk sangat saya ini agaknya
.
Bermula dengan penampilan orang-orang di sekeliling yang subhanallah bertudung labuh, berketayap putih, serta cakap-cakap mereka-sentiasa cakap-cakap agama. Agama menjadi budaya yang cukup tidak asing di kolej, dan saya bersyukur kerana itu.

Namun sayalah yang paling tidak membahasakan diri sebagai “ana anta”. Padahal sudah satu semester berlalu. Saya lebih selesa menggunakan bahasa “aku kau”(ini bahasa biasa di Kuantan) sama ada dengan sahabat lelaki atau perempuan. Jika dengan orang lebih tua saya bahasakan diri saya sebagai “saya awak”
.
Sehingga rakan sekelas menegur,
“Faizin, rasanya kalau guna bahasa ana anta kan lebih manis?”

Saya sekali lagi mengangguk.





Sesetengah orang menjadikan bahasa “ana anta” sebagai ukuran sama ada seseorang itu cukup “Ustaz” atau tidak Islamik atau tidak. Satu perkara yang saya paling tidak sangka ialah bahasa “ana anta” ini menjadi suatu perkara yang dititikberatkan sebelum menyertai sesuatu kumpulan gerakan dakwah.

Saya teringat ketika berborak dengan abang Dr. Firdaus, 

“Abang tak biasa dengan bahasa ana anta ni.”ujarnya.

“Bagi abang itu bukan soal yang penting dalam sesuatu gerakan dakwah. Bagi abang, yang penting keprofesionalan kita dalam bergerak. Abang sangat tidak suka kepada mereka yang berketayap tetapi masih datang lambat, kompetensi kurang, tidak mampu tampil ke hadapan-itu tidak menyumbang kepada umat.”

Saya mendengar dengan teliti.

“Abang pernah menyertai suatu gerakan dakwah dahulu. Dan abang telah keluar daripadanya dan membuat haluan sendiri.”

“Haluan abang ialah dengan menubuhkan faciteam?” saya membalas.

“Ya.”

Faciteam ialah sebuah persatuan di UIA Kuantan. Fokus utamanya ialah berdakwah kepada sekolah-sekolah menengah dan rendah melalui wadah pendidikan dan kepimpinan, termasuklah kem-kem motivasi PMR&SPM, kem-kem kepemimpinan, dan sebagainya.

“Gerakan dakwah yang abang sertai dulu sangat slow. Kami membuat perjumpaan setiap minggu dan berusrah, mentadabbur Al-Quran, dan membahasakan “ana anta”. Tetapi abang rasa gerakan kami tidak kuat. Dakwah kami hanya berlegar di kalangan ahli, dan kami tidak berjaya menarik ramai orang ke usrah kami. Sebab itu abang keluar dan membawa haluan sendiri, menubuhkan Faciteam, dan abang mencari platform terbaik untuk berdakwah dalam kelompok yang lebih ramai dengan gerakan yang lebih teratur.”

“Dan Faciteam tidak menggunakan bahasa ana anta”, saya menyindir.

“Ya, kerana abang tidak biasa.”

Beliau hanya tersenyum.

Betul, Faciteam telah berusia lebih 8 tahun, dengan struktur organisasi yang mantap, bilangan ahli yang ramai dan rangkaian yang luas, usrah yang sistematik dengan pelbagai topik yang membincangkan masalah umat.
Tetapi ahli-ahlinya tidak ramai berkopiah malahan menggunakan bahasa sahaja, “aku kau” “saya awak”, bahasa melayu kita.



Gambaran Imej Islam Perlu Diperluas

Saya baru selesai membaca buku “Beduk Diketuk” karangan Pahrol Mohd Juoi. Isinya digarap dengan begitu baik. Beliau memandang Islam dari perspektif seorang dai’e bukan seorang Ustaz, beliau memahami Islam dengan isi kandungan terpenting Islam itu sendiri dan bukannya “imej-imej” luaran.

Saya tidak nafikan, imej luaran atau syiar Islam itu amat penting, contohnya bahasa ana anta, tasbih di kereta, berkopiah, dan sebagainya. Itu amat digalakkan.

Tetapi yang lebih penting ialah, kita memahami isi kandungan Islam dengan apa yang dikehendaki oleh Islam.

Datang awal,berjalan cepat, kritis dalam pemikiran, professional dalam tindakan, kaliber dalam kepimpinan, itu semuanya Sunnah yang Nabi saw wariskan kepada kita.

Profesional dan tepat dalam tindakan, itulah dakwah yang paling berkesan.

Dan lebih penting, insyaAllah saya akan berbahasa ana anta selepas ini. 




2 comments:

  1. Faizin, letaklah butang like kat blog kau. Aku nak like ni. Heee.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha serius aku taktau nak letak butang like cemana

      Delete